Perkayakanlah Diri Dengan Perasaan
"Perasaan ialah garam hidup.
Dengan perasaan manusia merenung, mencari ketenangan dalam pergolakan. Menampak bahagia dalam sengsara. Menampak jernihnya masa depan dalam keruhnya yang sekarang! Imbangan nada tinggi melengking dengan nada rendah mengendor, itulah dia musik dari kehidupan!
Perasaan apabila diasuh dan diasah, tajamlah dia untuk mencari yang indah. Sehingga dilihat orang di luar dinding, di dalam dinding dirasai nikmat! Manusia sejak dia dijelmakan selalu merentangkan tali di antara alam dengan hatinya. Tumbuhlah kehalusan perasaan itu dengan sederhana pada mulanya, melihat keindahan langit dan kesuburan bumi dan keluasan laut. Warna-warni bulu burung dan mekarnya kembang, matahari terbit dan terbenam.
Tetapi kerana beratnya tekanan hidup, mencari beras seliter sehari, kadang kendurlah tali hubungan hati dengan alam itu atau pudar sama sekali.
Demi apabila keperluan sehari-hari mencapai berangsur kemakmurannya, mulailah dirasai bahawa hidup bukanlah semata-mata "cari makan". Hidup bukanlah semata-mata tekun mencari ilmu.
Ada yang lebih tinggi dari makan dan ilmu, iaitu kehalusan perasaan buat menangkap yang indah, yang ada keliling diri.
Bila ini tercapai, inilah tiang hidup!"
-Dipetik daripada Buku Panggilan Bersatu oleh HAMKA-
Aku suka, apa yang HAMKA nukilkan perihal perasaan.
Maka aku kalamkan kepada diriku ini,
Perkayakanlah diri dengan perasaan!
Cukuplah hanya menggunakan perasaan cinta saat menyukai, dan menggunakan perasaan benci saat berkelahi.
Sedangkan cinta itu boleh dipecah kepada asyik, kasih dan sayang. Hatta sedih, risau dan bimbang juga tergolong dalam perasaan cinta.
Begitu juga benci, kehilangan rasa cinta itu benci. Bermusuh-musuhan dan dendam itu juga benci.
Perhaluskanlah perasaan dengan Kembara dan Pergaulan.
Kembaralah sambil mencari mutiara-mutiara cinta dan benci yang disemai orang dulu-dulu. Perkayakanlah pergaulan dengan rata-rata lapisan masyarakat sehingga hati melihat semuanya sama sahaja, tiada beza iaitu manusia juga.
Ada cinta, ada benci, ada gembira, ada sedih, ada ketawa, ada tangis.
Saat terkelu, tidak mampu menghasilkan kata. Perkayakanlah pula diri dengan ilmu bahasa. sehingga perasaan itu mampu disampaikan kepada yang lain. Sehingga mampu merapatkan hati-hati yang jauh menjadi dekat.
Tatkala inilah, seruan cinta baru dirasai. Kerana diri sudah mengerti, perasaan cinta bukan hanya terhad dalam lingkungan hubungan para kekasih. Perasaan cinta mampu menggegarkan dunia.
Tatkala ini, pagar kebencian dapat didirikan. Kerana diri sudah mengerti, Kebencian hanya membawa kesengsaraan. Kebencian hanya membawa dunia ke lembah kehancuran.
Bukankah Allah berfirman:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). " -Surah Al-Hujurat(49):13-
Ku tutup kalam ini dengan puisi,
Saat Hati kering tanpa perasaan,
Kayakanlah!
Kayakanlah dengan Cinta.
Kayakanlah dengan simpati dan empati.
Jangan terus-menerus membiarkan ianya kering dan mati.
Kerana empunya hati yang mati, sama sahaja seperti mayat hidup.
Tidak mampu bergerak, tidak pula diharap orang.

Ulasan